Wednesday, December 9, 2009

Bicara Bersama YB Wan


Transkrip penuh temuramah antara YB Wan dengan wartawan Bukit Indah Evening News (BIEN)

BIEN: YB pandai berbahasa Inggeris?

YB Wan: Saya OK, fluent English. Dulu, sewaktu saya di Paris, saya biasa baca One Night in Paris tapi sekarang ini, saya baca akhbar Harakah dan Sinar sahaja, rugi betullah.

BIEN: Saya diberitahu YB fasih dalam berjenis-jenis bahasa.

YB Wan: Saya fasih Bahasa Arab, Bahasa Urdu. Loghat Kelantan sikit-sikit.

BIEN: Boleh beritahu sedikit latar belakang YB?

YB Wan: Rumah saya sekarang di Okid. Insya’Allah dalam sebulan dua lagi saya akan berpindah ke Kosas. Saya asal dari Tumpat, Kelantan

Keluarga saya adalah keluarga guru agama dan juga puak tani, suka menanam pokok-pokok, buat kebun sendiri dan orang tua, bapa saya ini yang beri semangat, jangan bergantung rezeki pada orang lain.

Orang tua saya sendiri tanam kebun getah, ada kebun rambutan, kebun durian. Dia cukup marah kalau hanya bergantung pada sedekah. Sedekah tahu tak? Derma. Dia cukup marah.

Dia juga minat dengan berniaga. Dia minat dengan berkebun. Sampai sekarang pun, saya dekat dengan tani, petang-petang saya tanam pokok dulu.

Sekarang ini, pokok durian saya tanam, pokok kelapa saya tanam, pokok pisang saya tanam, semua boleh berbuah semua boleh makan. Tapi sekarang anak-anak saya buat kerja tu semua. Saya tak laratlah. Mana nak jaga kawasan dan nak layan rakan-rakan di kopitiam tu.?

BIEN: Masa muda YB Wan kerja apa?

YB Wan: Saya join navy dulu. Puaslah merantau ke seluruh dunia. Mana saya tak pergi masa dalam servis dulu? Monaco, Paris, New Zealand, Jepun, Korea…pendek kata puas saya berjalan. Banyak pengalaman saya timba. Kalau setakat budak-budak sekarang ni saya tak heran langsunglah.

Lama juga saya dalam servis dulu. Lebih 25 tahun

BIEN: Lepas keluar servis?

YB Wan: Oh lepas tu saya menceburkan diri dalam perniagaan. Mula-mula tu nak supply kapal selam kepada kerajaan Malaysia. Tapi faham2 sajalah ya. Bila Razak Baginda dan Altantuya masuk campur, saya dah hilang interest.

Lepas tu saya berniaga kedai makan di KLCC. Tapi biasalah KLCC…pantang nampak bisnes kita berjaya sikit, managementpun naikkan kadar sewa. Bayangkan dengan keluasan 100 kaki persegi saya kena bayar sewa RM15,000.00 sebulan. Tauke balakpun pengsan.

Saya beralih arah kepada bisnes operator kantin. Alhamdulillah saya kekal dengan bisnes tersebut.

BIEN: Bagaimana dengan keluarga YB Wan?

YB Wan: Adik-beradik 10 orang. Adik-beradik saya ramai.

Semasa remaja habiskan masa saya untuk belajar. Orang tua saya ini, di samping dia pergi berkebun, dia bawa saya pergi sama, pagi-pagi belajar buku dulu, belajar kitab dulu. Awal pagi dia kejut saya sembahyang subuh, baca Quran, terjemah Quran. Kemana pergi pun dia bawa saya bukan untuk buat kerja tapi untuk mengaji dengan dia.

Kerja sikit-sikit tapi belajar banyak, dia suruh saya hafal syair-syair dari Bahasa Arab bagi perkukuhkan Bahasa Arab dan saya ini sekarang sedang menikmati kesan yang ditinggalkan oleh orang tua saya iaitu dalam kepala saya banyak ingat ayat-ayat
Quran yang menyebabkan dalam ucapan-ucapan saya selalu selit dengan pantun-pantun Bahasa Arab, ayat-ayat Quran dan hadith-hadith.

BIEN: YB rasa tunjuk-ajar sedemikian tidak lagi dilakukan oleh ibu-bapa?

YB Wan: Betul. Ibu-bapa dulu mementingkan akhlak anak-anak. Cukup jaga akhlak anak-anak. Ibu-bapa sekarang umumnya turut arus. Kalau kerajaan suruh belajar, belajar. Kalau kerajaan suruh tinggi akademik, tinggi akademik. Akhlak hampir tidak
dipedulikan langsung. Ini sungguh mendukacitakan.

Hasilnya, sekarang ini kita dapat lihat, anak-anak, belia-belia yang 20 tahun dahulu tidak dipedulikan akhlak dalam sukatan pelajaran dan 20 tahun orang Melayu sudah mengenepikan tulisan Jawi, sekarang kita sudah boleh tengok, anak-anak sudah tidak boleh baca kitab agama, tidak boleh baca Quran.

Dan sekarang ini sudah menjadi bebanan keatas kerajaan membelanjakan wang begitu banyak untuk jaga belia-belia yang sudah (ketagih) dadah dan sebagainya kerana agama mengajar kita bahawa semua gerak geri kita di muka dunia ini, kesannya dapat dilihat pada hari akhirat nanti, the last day. Tekanan dari pelajaran ini dulu kuat. Sekarang tekanan itu sudah tidak ada.

BIEN: Apakah yang mendorong YB Wan untuk berkecimpung dalam politik?

YB Wan: Puncanya begini. Bila saya pencen TLDM pada tahun 1995, saya menjadi peniaga. Tahun 1998 ini, keganasan Parti UMNO terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim amat mendukacitaka. Semua orang yang menentang kerajaan habis ditangkap.

Kerja ini bercanggah sekali-kali dengan Islam. Ia tidak pernah berunding dengan orang ini, tidak pernah ajak muzakarah.Tangkap, siksa dan sumbat dalam penjara, sebahagiannya dalam ISA terus.

Ramai ahli politik pembangkang kena ISA di Kemunting. Saya perhati ini perbuatan tak betul. Saya tak kata apa, Cuma ucapan-ucapan saya pada tiap-tiap malam, cara Islam.

Masyarakat bila dia dengar, anggap saya ini orang PAS kerana ucapan saya, kata mereka, mirip dengan PAS. Saya tidak menjadi orang PAS tapi penonton dengar dan kata "Dia ni orang PAS." Bila berlaku kematian seorang wakil rakyat, wakil parlimen
Bukit Indah. Bila mati hamba Allah ini, tahu-tahu saya dipilih menjadi calun.

Saya tengah berniaga di KLCC datang wakil penduduk Bukit Indah, Mee Panjang kata "Pak Wa, Dato’ Hassan minta Pak Wan pergi ke rumah dia sekarang."

Saya kata "Pasal apa?" "Entahlah" kata dia, "Orang ramai tengah tunggu Pak Wan."

Saya pun berhenti daripada berniaga , terus pergi kerumah Dato; Hassan,tahu-tahu, ahli jawatankuasa agung PAS datang dan mesyuarat sini, memilih calun baru untuk mengganti Allahyarham wakil rakyat yang mati itu.

Jadi Dato’ Hassan kata, "Pak Wan, kami buat keputusan supaya Pak Wan menjadi calun."

Mulai daripada situlah, saya menjadi orang PAS. Jadi ahli PAS tiga hari sebelum daripada menjadi calun, tahun 1998. Kalau tak silap saya bulan sepuluh (Oktober). Mulai dari situlah saya menjadi orang PAS dan berkempen menjadi calun dan saya menang.

Mulai dari situlah sampai hari ini saya tak berhenti-henti jadi wakil rakyat, apa boleh buat, nasib saya. Itu cerita saya, bukan saya masuk PAS tapi dimasukkan saya dalam PAS dan saya setuju.

BIEN: Sebab?

YB Wan: Saya setuju sebab PAS memperjuangkan Islam. Islam ini menjadi agama yang dibawa oleh nabi-nabi. Sejak daripada Nabi Muhammad naik ke Nabi Isa, naik ke Nabi Musa terus. Semua nabi-nabi bawa Islam.

Kita sebagai orang Islam, Melayu baik Cina baik India baik mana-manapun, mesti jaga Islam. Melayu tak payah dijaga kerana Melayu ini, jaga pun Melayu, tak jaga pun Melayu.

Bangsa Melayu serupa juga bangsa Cina, orang jaga bangsa ini tak betul. Kita jaga benda yang boleh jadi hilang, barulah kita perlu jaga.

Bangsa Melayu, dia tidak akan hilang. Bangsa Cina pun dia tidak akan hilang. Bangsa eskimo, bangsa asli pun dia tidak akan hilang. Perlu apa kita jaga?

Yang jaga ini ialah benda yang boleh jadi hilang. Islam ini boleh jadi hilang. (agama) Kristian boleh jadi h! ilang, (agama) Yahudi boleh jadi hilang. Hak ini yang kita kena jaga.

Bila jaga Islam, Melayu juga terjaga sama, Cina juga terjaga sama, India juga terjaga sama kerana Islam mengajar bahawa Melayu, Cina, India, seluruh manusia dunia ini hanya daripada seorang bapa. Bapa orang Melayu Adam, bapa orang Cina juga Adam, bapa orang Inggeris juga Adam. Jadi ia (Islam) satu ajaran yang cukup baik, ajaran yang penuh dengan perpaduan.

Bila bapa kita satu, ibu kita pun satu, ertinya kita ini adik-beradik. Cumanya dua pupu, seribu pupu, sepuluh ribu pupu tapi darah manusia semuanya satu dari Adam waalaisalam.

Satu ajaran yang cukup penuh dengan keamanan, dan kesaudaraan. Melayu walau bagaimana miskinpun Melayu, bagaimana kuruspun Melayu. Cina juga, kurus pun Cina, gemuk pun Cina, kecil pun Cina, tua pun Cina, tak perlu dijaga. Bangsa tak perlu dijaga.

(kita sambung bahagian kedua bila YB Pak Wan free)
-Transkrip asal ialah temuramah The Star dengan TGNA dengan sedikit pindaan. Ini semua gara2 YB Wan memang peminat setia TGNA. Kalau Alif kata TGNA Alif lah kata YB Wan. Kalau Ba...ba lah..

No comments:

Post a Comment