Tuesday, December 15, 2009

Masjid Bukit Indah, Ampang - 50 remaja sertai program Fuyyo!!

50 remaja sertai program Fuyyo!!


BUKIT INDAH- Sempena musim cuti sekolah, seramai 50 remaja sekitar Ampang menyertai Program Motivasi Friends, Unity, Enjoy, Explore (Fuyyo !!) yang berlangsung di Masjid Bukit Indah.

Eksekutif Pembangunan Remaja Dan Belia Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pusat, merangkap fasilator Program Motivasi Fuyyo !!, Mohd Hafiz Abdul Hamid, berkata, program julung kali ini melibatkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun dengan tujuan mencapai objektif utama program.

“Objektif utama program adalah memantapkan matlamat remaja dan mencari identiti remaja. Di samping menerapkan nilai murni kepada remaja, program ini menerapkan rasa kepentingan iman dan taqwa dalam jiwa remaja, selain meningkatkan kesedaran terhadap masyarakat sekeliling,”

Tambahnya, fokus utama adalah mencari identiti diri remaja kerana pendapat beliau masalah sosial yang berlaku kini adalah kerana segelintir remaja masih mencari identiti diri, selain pengaruh keadaan sekeliling.

“Program sebegini, kesan positifnya adalah untuk jangka masa pendek, bagi mengekalkannya, program berterusan harus dilaksanakan disamping mendapat kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Menurutnya lagi program Fuyyo!! tersebut juga mendapat kerjasama ahli jawatankuasa Masjid Bukit Indah.

Pelbagai program menarik telah disusun oleh pihak penganjur, antaranya Xplore de Quran.

“Kami menyusun pelbagai aktiviti menarik secara ilmiah dan santai antaranya Xplore de Quran iaitu satu cara menarik minat golongan remaja mencintai al-Quran. Dalam program ini kami mengadakan aktviti kuiz yang mudah dari segi Matematik, Sains dan Sastera yang terkandung dalam al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Muslimat Masjid Bukit Indah, Norakidah Awang Ahmad berkata, program yang mendapat kerjasama dari Kelab Remaja JIM itu merupakan kali pertama diadakan di Masjid Bukit Indah.

“Sebelum ini, ahli jawatankuasa masjid banyak menganjurkan program berbentuk motivasi dan sukan, namun sempena cuti sekolah ini, sedikit perbezaan telah dilakukan, di mana kami menjemput JIM bersama mengadakan Program Motivasi Fuyyo!!,” katanya.

“Saya berharap program motivasi sebegini diteruskan agar dapat membangunkan sahsiah dan kendiri remaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment